Entri kali ini akan kuimbau kenangan bersama rakan-rakan STAB2033(Ekologi Air Tawar & Samudera) semasa kerja lapangan di Tasik Chini, Pekan, Pahang. Pelbagai episod suka dan duka berjaya diharungi bersama demi menjayakan tugasan-tugasan yang diarahkan seperti mengumpul dan menguji pH air tasik, mengkaji komuniti bentos (dasar) tasik, mengecam fitoplankton dari sampel air di permukaan, mengambil sampel makrofit akuatik yang mendiami kawasan tasik dan pelbagai lagi. Seperkara lagi yang tidak dapat dilupakan...ialah menaiki bot ke kawasan kajian!
Ketibaan kami di Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM (PPTC-UKM).
Para pelajar khusyuk mendengar taklimat ringkas dari Prof. Madya Dr. Ahmad Ismail sebelum 'racing' ke tempat tugasan masing-masing.
Kumpulan 1 sempat lagi bergambar bersama staf dan pensyarah sebelum menaiki bot ke kawasan kajian.
Ber-'posing' di dalam bot adalah perkara biasa.
Panorama indah semasa menuju ke lokasi kajian. Ciptaan Allah sememangya menakjubkan. Subhanallah..!
Lokasi kajian Kumpulan 1: Laut Melai
Populasi kercut (Lepironia articulata). Kercut boleh dikeringkan dan dikenakan bahan kimia supaya tahan lama demi nilai komersialnya sebagai aksesori hiasan di dalam mahupun di luar rumah atau bangunan.
Rasau (Pandanus helicopus). Populasinya tumbuh berkelompok dan padat-padat seakan-akan membentuk pulau-pulau kecil di sekeliling tasik.
Ledakan populasi lumut ekor kucing (Cabomba furcata) di beberapa kawasan di Tasik Chini mengancam pertumbuhan populasi teratai. Lumut ekor kucing ini merupakan spesies asing atau pendatang yang bercambah dan meledak (bloom) dengan pesat sehingga meliputi ruang dalam tasik secara ekstensif. Hal ini mempunyai korelasi dengan kualiti air di Tasik Chini itu sendiri yang semakin menurun akibat faktor-faktor antropogenik yang semakin berkembang. Tahap kekeruhan yang meningkat dan kandungan nitrogen yang tinggi di dalam air akibat aktiviti pembajaan yang giat ke atas pokok-pokok kelapa sawit yang ditanam di sesetengah kawasan di tepi tasik mengaruh pendominasian populasi lumut ekor kucing.
Kerja-kerja pengecaman fitoplankton di makmal mini.
Tugasan analisis sampel air tasik dari aspek nilai pH, kandungan nitrogen dan kandungan fosfat.
Populasi teratai bagaimanapun masih banyak dan subur di Laut Gumum, tempat terletaknya Resort Tasik Chini.
Para pelajar, staf dan pensyarah yang menjayakan kerja lapangan di Tasik Chini ini.
Buat sahabat-sahabatku yang diingati...:
Geger kelicap mengulit sepi,
Diulit empuk masa berlalu,
Kisah bersahabat tersemat di hati,
Di hati cinta mengungkap rindu.
Sekian sahaja untuk entri kali ini...insya Allah jika tiada aral melintang dan dipanjangkan umur, kita bersua lagi pada entri yang akan datang..:)