Sunday, 8 May 2011

Terbaik dari Bukit Fraser...

5-6 Mac yang lalu melebarkan lagi catatan tawarikh kerja lapanganku apabila kursus STAB2023 Ekologi Terestrial membuat 'terjahan' akademik ke Bukit Fraser, Pahang. Berbekalkan kekuatan anggota seramai 90 orang (74 pelajar + 16 staf makmal dan pensyarah), kami semua selamat tiba ke destinasi setelah menyusuri jalannya yang berbukit dan bengkang-bengkok bak ular kena palu. Memandangkan masa yang sangat terhad disamping 2 tugasan pokok yang perlu dilaksanakan, kami tiada masa untuk berlengah malah terpaksa berhempas-pulas memerang keringat, kudrat dan fikiran demi mencapai serta menyempurnakan misi yang telah disasarkan. Berikut merupakan antara kenangan dari Bukit Fraser yang sempat diabadikan dalam bentuk fotograf:

Peserta tiba di pinggir kawasan lapangan dan menanti taklimat ringkas dari pensyarah Dr. Faszly Rahim dan Dr. Wan Juliana.

 Paku gajah (angiopteris evecta) merupakan flora yang tidak asing di Bukit Fraser.

 Seorang rakan sekumpulan sedang ralit menyemak semula pokok-pokok yang telah ditanda.

 Saudari yang penuh dedikasi, Amanina sedang meneliti kod pokok yang telah ditanda bagi memudahkan pengecaman pokok ke peringkat spesies dan nama tempatannya.

 Saudari Khatijah memberanikan diri ke bahagian yang lebih curam demi memastikan kepersisan kedudukan pokok-pokok di dalam plot berukuran 10 meter x 10 meter bagi setiap kumpulan.

 Kelihatan ahli kumpulan lain turut bertungkus lumus menyiapkan tugasan untuk pemprofilan hutan dan taburan serangga.

 Bergaya sejenak oleh siswa-siswi biologi tumbuhan setelah penat menyiapkan tugasan.
 Pemandangan hutan Bukit Fraser yang diselubungi kabus selepas hujan dari sudut beranda asrama kediaman peserta.

 Kedudukan lensa kamera di posisi yang lain dalam 'menggambarkan' pemandangan berkabus hutan Bukit Fraser.

 Para siswi biologi sedang khusyuk mendengar taklimat pembentangan tugasan untuk keesokan harinya oleh pensyarah kursus. Kelihatan saudari Noraini begitu teruja ketika lensa kamera telefon bimbit dihalakan ke arahnya.

 Mahir dan cekap dalam fotografi, Wan Zakhir dengan pantas dan senang mengambil seberapa banyak gambar yang boleh untuk laporan dan dokumentasi kerja lapangan kali ini.

 Siswa-siswa biologi budiman yang juga sedang khusyuk mendengar taklimat pembentangan tugasan.

Ahli kumpulan 5 bekerjasama untuk menyalin dan melengkapkan data bagi memudahkan penstrukturan profil hutan.

Panorama pekan Bukit Fraser di kala malam.

Bersiar-siar di pekan Bukit Fraser usai sesi pembentangan.

Para pelajar bergambar sebagai tanda kenangan sebelum pulang ke UKM.

Keterletakan bangunan yang tersusun dan suasana yang permai di sekitar pekan Bukit Fraser.

Umpama di seberang laut, panorama Bukit Fraser sentiasa mengujakan setiap mata yang memandang.

Mercu tanda di Bukit Fraser.


Salah sebuah penginapan yang disediakan di Bukit Fraser.

Pemandangan langit Bukit Fraser yang membiru jernih.

Seekor lepidoptera yang melekap pada cermin bas.




Thursday, 5 May 2011

Kalam Hikmah







Semoga perkongsian ini mampu memberi manfaat kepada kita semua untuk terus menjalani kehidupan dengan lebih baik dan tabah menghadapi ujian-Nya...Insya Allah.

Wednesday, 4 May 2011

Chini Oh Chini!

Entri kali ini akan kuimbau kenangan bersama rakan-rakan STAB2033(Ekologi Air Tawar & Samudera) semasa kerja lapangan di Tasik Chini, Pekan, Pahang. Pelbagai episod suka dan duka berjaya diharungi bersama demi menjayakan tugasan-tugasan yang diarahkan seperti mengumpul dan menguji pH air tasik, mengkaji komuniti bentos (dasar) tasik, mengecam fitoplankton dari sampel air di permukaan, mengambil sampel makrofit akuatik yang mendiami kawasan tasik dan pelbagai lagi. Seperkara lagi yang tidak dapat dilupakan...ialah menaiki bot ke kawasan kajian! 

Ketibaan kami di Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM (PPTC-UKM).

Para pelajar khusyuk mendengar taklimat ringkas dari Prof. Madya Dr. Ahmad Ismail sebelum 'racing' ke tempat tugasan masing-masing.

Kumpulan 1 sempat lagi bergambar bersama staf dan pensyarah sebelum menaiki bot ke kawasan kajian.

Ber-'posing' di dalam bot adalah perkara biasa.

Panorama indah semasa menuju ke lokasi kajian. Ciptaan Allah sememangya menakjubkan. Subhanallah..!

Lokasi kajian Kumpulan 1: Laut Melai

Populasi kercut (Lepironia articulata). Kercut boleh dikeringkan dan dikenakan bahan kimia supaya tahan lama demi nilai komersialnya sebagai aksesori hiasan di dalam mahupun di luar rumah atau bangunan.

Rasau (Pandanus helicopus). Populasinya tumbuh berkelompok dan padat-padat seakan-akan membentuk pulau-pulau kecil di sekeliling tasik.

Ledakan populasi lumut ekor kucing (Cabomba furcata) di beberapa kawasan di Tasik Chini mengancam pertumbuhan populasi teratai. Lumut ekor kucing ini merupakan spesies asing atau pendatang yang bercambah dan meledak (bloom) dengan pesat sehingga meliputi ruang dalam tasik secara ekstensif. Hal ini mempunyai korelasi dengan kualiti air di Tasik Chini itu sendiri yang semakin menurun akibat faktor-faktor antropogenik yang semakin berkembang. Tahap kekeruhan yang meningkat dan kandungan nitrogen yang tinggi di dalam air akibat aktiviti pembajaan yang giat ke atas pokok-pokok kelapa sawit yang ditanam di sesetengah kawasan di tepi tasik mengaruh pendominasian populasi lumut ekor kucing.

Kerja-kerja pengecaman fitoplankton di makmal mini.

Tugasan analisis sampel air tasik dari aspek nilai pH, kandungan nitrogen dan kandungan fosfat.

Populasi teratai bagaimanapun masih banyak dan subur di Laut Gumum, tempat terletaknya Resort Tasik Chini.

Para pelajar, staf dan pensyarah yang menjayakan kerja lapangan di Tasik Chini ini. 
 
Buat sahabat-sahabatku yang diingati...:
Geger kelicap mengulit sepi,
Diulit empuk masa berlalu,
Kisah bersahabat tersemat di hati,
Di hati cinta mengungkap rindu.

 Sekian sahaja untuk entri kali ini...insya Allah jika tiada aral melintang dan dipanjangkan umur, kita bersua lagi pada entri yang akan datang..:)




Semester 3 ... Suatu eksposisi dan cabaran


 Julung kali menyusun kata di dada blog sangat mengujakan...hehe...barangkali aku agak ketinggalan berbanding rakan-rakan yang lain (agaknya..!). Hmm...muqaddimahnya, beginilah...nic sebagai seorang mahasiswa di semester 3 ini sememangnya kurasakan berbeza. Menghuni di asrama K13A Kolej Ibrahim Yaakub (asrama siswi...hehe) mengentayangkan atmosfera kesepian dalam keterujaan yang begitu rancak. Perabot asrama yang berkilat dan seakan-akan baharu serta lantai berjubin lebar membuatkan aku tidak senang duduk. Sikit-sikit nak menyapu lantai...pantang ternampak cebisan sampah atau debu yang bergumpalan. Ya lah...keadaan disini begitu kontra dengan keadaan di asrama siswa. Segalanya tampak bersih dan baharu!

Hari pertama di semester 3 ini dimulakan dengan 'penjelajahan' beramai-ramai (dengan rakan sekelas) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) demi 'memburu' kursus pilihan bebas (PB) di sana. Harapan yang tinggi menggunung hampir luluh taktala staf di pejabat dekan FSSK berkata begini, " Daftar manual adalah tidak dibenarkan lagi". Sempat kuperhatikan raut muka seorang rakanku ketika itu yang menjadi merah padam, namun dia tetap menggagahkan dirinya untuk terus merayu dengan pelbagai alasan namun masih tidak berjaya. Perasaan masing-masing sedih berbaur kecewa. Aku memberanikan diri ke bilik-bilik pensyarah demi kelangsungan 'proses rayuan' tersebut. Hasilnya...masih tidak berjaya kerana kapasiti pelajar yang rigid untuk satu-satu kursus disamping permohonan yang terlalu ramai. 

Berkat keyakinan yang teguh terhadap pertolongan Ilahi, SKMM2083 ditakdirkan menjadi kursus yang diambil. Berdasarkan bait-bait bicara kemas tetapi lembut dan berinformatif yang diluahkan pensyarahnya Dr. Mawar Shafei sore tadi, SKMM2083 bakal menyajikan suasana pembelajaran yang begitu praktikal dan mencabar keintelektualan seorang mahasiswa yang memerlukan paduan atau intergriti ilmu yang tinggi dan terkehadapan. Hal ini penting dalam melatih dan menjana seseorang individu itu untuk menghasilkan buah fikiran dan jalan penceritaan di dalam penulisan cerpen yang kreatif dan penuh sastera. Bibit-bibit tekanan seakan membanjiri benak fikiran dan kalbu taktala tugasan demi tugasan diberikan walaupun pada pertemuan kelas yang pertama...ahh! Akan kucuba memangkinkan peluluhawaan gumpalan tekanan ini sebisa mungkin bak pepatah Melayu berbunyi, "kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". 

Semoga Allah sentiasa memudahkan perjalananku didalam jihadku ini...yakni menuntut ilmu-Nya yang luas dan penuh tanda-tanda kebesaran-Nya.Insya Allah.