Wednesday, 4 May 2011

Semester 3 ... Suatu eksposisi dan cabaran


 Julung kali menyusun kata di dada blog sangat mengujakan...hehe...barangkali aku agak ketinggalan berbanding rakan-rakan yang lain (agaknya..!). Hmm...muqaddimahnya, beginilah...nic sebagai seorang mahasiswa di semester 3 ini sememangnya kurasakan berbeza. Menghuni di asrama K13A Kolej Ibrahim Yaakub (asrama siswi...hehe) mengentayangkan atmosfera kesepian dalam keterujaan yang begitu rancak. Perabot asrama yang berkilat dan seakan-akan baharu serta lantai berjubin lebar membuatkan aku tidak senang duduk. Sikit-sikit nak menyapu lantai...pantang ternampak cebisan sampah atau debu yang bergumpalan. Ya lah...keadaan disini begitu kontra dengan keadaan di asrama siswa. Segalanya tampak bersih dan baharu!

Hari pertama di semester 3 ini dimulakan dengan 'penjelajahan' beramai-ramai (dengan rakan sekelas) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) demi 'memburu' kursus pilihan bebas (PB) di sana. Harapan yang tinggi menggunung hampir luluh taktala staf di pejabat dekan FSSK berkata begini, " Daftar manual adalah tidak dibenarkan lagi". Sempat kuperhatikan raut muka seorang rakanku ketika itu yang menjadi merah padam, namun dia tetap menggagahkan dirinya untuk terus merayu dengan pelbagai alasan namun masih tidak berjaya. Perasaan masing-masing sedih berbaur kecewa. Aku memberanikan diri ke bilik-bilik pensyarah demi kelangsungan 'proses rayuan' tersebut. Hasilnya...masih tidak berjaya kerana kapasiti pelajar yang rigid untuk satu-satu kursus disamping permohonan yang terlalu ramai. 

Berkat keyakinan yang teguh terhadap pertolongan Ilahi, SKMM2083 ditakdirkan menjadi kursus yang diambil. Berdasarkan bait-bait bicara kemas tetapi lembut dan berinformatif yang diluahkan pensyarahnya Dr. Mawar Shafei sore tadi, SKMM2083 bakal menyajikan suasana pembelajaran yang begitu praktikal dan mencabar keintelektualan seorang mahasiswa yang memerlukan paduan atau intergriti ilmu yang tinggi dan terkehadapan. Hal ini penting dalam melatih dan menjana seseorang individu itu untuk menghasilkan buah fikiran dan jalan penceritaan di dalam penulisan cerpen yang kreatif dan penuh sastera. Bibit-bibit tekanan seakan membanjiri benak fikiran dan kalbu taktala tugasan demi tugasan diberikan walaupun pada pertemuan kelas yang pertama...ahh! Akan kucuba memangkinkan peluluhawaan gumpalan tekanan ini sebisa mungkin bak pepatah Melayu berbunyi, "kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". 

Semoga Allah sentiasa memudahkan perjalananku didalam jihadku ini...yakni menuntut ilmu-Nya yang luas dan penuh tanda-tanda kebesaran-Nya.Insya Allah.

1 comment:

  1. Sdr E Faris
    tahniah kerana dapat merakam dengan kreatif pengalaman di Chini dan perbukitan Fraser. saya percaya, ia dapat menyuburkan proses penulisan sdr nanti.

    ReplyDelete